<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8049081\x26blogName\x3dRon97\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://ron97.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den_US\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://ron97.blogspot.com/\x26vt\x3d341491511223301082', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

18.8.05

Berita Harian - 18 Ogos 2005

‘Nenek Besi’ tanggung sembilan anak, 12 cucu

TUMPAT: ‘Nenek Besi’. Mungkin itulah gelaran paling sesuai kepada Hasnah Yusuf, 50, yang mempunyai sembilan anak dan 12 cucu yang masih gigih mencari rezeki sesuap nasi melebihi lelaki.

Sekilas pandang, tiada siapa menyangka wanita bertubuh kecil itu bukan saja menjual ikan di Pasar Siti Khatijah dekat Kota Bharu, malah turun sendiri ke laut atau sungai mencari bahan jualannya.

Ketika wanita sebayanya sibuk melayan cucu atau berehat di rumah dengan anak-anak, Hasnah yang buta huruf sejak kecil terpaksa memerah keringat turun ke laut atau sungai untuk memukat ikan dan ketam.

Beliau yang sudah ke laut sejak 30 tahun lalu, mengendalikan sendiri bot ketika ke pasar dan laut kerana kedudukan rumahnya di Pulau Pantai Baru, Tumpat, hanya boleh dihubungkan dengan bot atau sampan.

“Mudah belaka,” katanya apabila ditanya mengenai pekerjaannya sebagai nelayan yang mungkin satu-satunya nelayan wanita di Kelantan.

Hasnah yang ditemui baru-baru ini di rumahnya, di Pulau Pantai Baru, di sini, berkata kesempitan hidup memaksanya turun ke laut mencari rezeki.

“Saya terpaksa ke laut atau sungai untuk membesarkan anak. Kerja ini saya lakukan sejak belum berumahtangga. Kalau saya tidak bekerja menggunakan sepuluh jari ini... nak makan apa?.

“Nak kira cakap-cakap orang, kami nanti kebuluran. Saya tidak kisah apa orang lain cakap walaupun bagi mereka tidak manis wanita turun sendiri ke laut mencari rezeki,” katanya.

Kadang kala, suaminya, Mamat Mat Amin, 57, menemaninya tetapi kebanyakan masa beliau ke laut atau sungai bersendirian.

Hasnah keluar menangkap ikan atau ketam tiga kali seminggu mulai petang sehingga keesokan harinya sambil membawa nasi dan kopi sebagai bekalan meng alas perut.

“Lazimnya, selepas semalaman di sungai atau laut, saya akan pulang ke rumah sebelum subuh kerana kira-kira jam 7 pagi, terpaksa pula ke Pasar Siti Khatijah untuk menjual hasil tangkapan,” katanya yang memperoleh antara RM20 hingga RM30 sehari.

Ditanya mengenai anaknya, Hasnah berkata, beliau tidak begitu mengharapkan bantuan mereka kerana mereka juga hidup sebagai nelayan dan sudah berkeluarga.

Sementara itu, peniaga ikan di Pasar Siti Khatijah, Kota Bharu, Mohamad Zin Ismail, 40, menyifatkan Hasnah sebagai seorang wanita yang melawan arus serta cekal dan bersemangat melebihi lelaki.

“Saya mengenalinya lebih 20 tahun, orang lelaki pun tidak mampu buat macam Kak Nah, ke laut, berniaga ikan dan ke kebun durian,” katanya.