<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8049081\x26blogName\x3dRon97\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://ron97.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den_US\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://ron97.blogspot.com/\x26vt\x3d341491511223301082', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

28.11.04

PERLIS, Kedah Ke Final

PENYERANG import, Phillimon Chipeta muncul wira apabila memastikan Perlis layak ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia buat kali pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 Disember ini.
Sekalipun Perlis tewas 1-2 kepada Pahang dalam perlawanan saingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur semalam, skuad Singa Utara tetap mara menerusi kemenangan agregat 3-2.
Jaringan tunggal Perlis di minit-minit terakhir babak perlawanan menerusi Chipeta terus melenyapkan harapan Pahang yang berjaya mulanya menyamakan agregat 2-2 menerusi jaringan Fadzli Shaari (m-45) dan Anthony Milicic (m-47).
Perlis menang 2-0 dalam saingan pertama separuh akhir di Stadium Utama Selasa lalu menerusi jaringan Chipeta dan Joao Bandoch.
Sekalipun Perlis tersentak selepas ketinggalan 0-2 disusuli pemain pertahanan, Mohd. Feriza Ismail dibuang padang pada minit ke-54, ia tidak menjejaskan semangat membara anak didik Norizan Bakar untuk bangkit melenyapkan kehebatan juara sulung Liga Super musim ini.
Begitupun perlawanan tersebut dicemari insiden penyokong tuan rumah masuk ke padang sejurus jaringan Chipeta namun tindakan cepat Polis Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal keadaan.
Ketika perlawanan seakan berlarutan sehingga ke permainan masa tambahan berikutan kedudukan agregat terikat 2-2, Chipeta menolak masuk gol tunggal perlawanan yang sudah cukup memastikan Perlis ke akhir dengan agregat 3-2.
Sejurus babak bermula Pahang yang bersemangat bermain di hadapan 30,000 penyokong lebih banyak menguasai pentas saingan dengan asakan bertali arus ketika Perlis lebih banyak bertahan.
Namun Pahang lebih awal mencemaskan benteng pertahanan Perlis.
Seawal minit kelapan, rembatan kencang Simon Colosimo sekadar mengenai tiang gol ketika penjaga gol pelawat, Amran Omar sudah tertewas.
Belum sempat skuad Singa Utara mengatur gerak, mereka tersentak lagi apabila tandukan kencang ketua pasukan Pahang, Hairuddin Omar berjaya ditepis keluar oleh Amran Omar pada minit ke-13.
Pada minit-minit terakhir babak pertama, gol yang dicari oleh Pahang menyusul. Ia bermula daripada sepakan percuma Hairuddin sebelum ditanduk oleh Indra Putra Mahayuddin. Bola yang bergolek di depan pintu gol berjaya di tolak masuk oleh Fadzli Shaari dengan kaki kiri menewaskan Amran.
Sejurus dua minit babak kedua berlangsung, Pahang mengikat agregat 2-2 menerusi jaringan penyerang importnya, Milicic yang melakukan gerakan solo.
Tonggak pertahanan Perlis, Mohd. Feriza Ismail di buang padang pada minit ke-54.
Di minit-minit terakhir Perlis berjaya mencipta jaringan tunggal perlawananan sekali lagi menerusi Chipeta untuk menjadikan kedudukan agregat 3-2.
Oleh NAZARUDDIN SHAHARI
BERAKSI pincang tanpa penyerang utama tidak langsung menghalang Kedah daripada layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia apabila menumpaskan Sabah menerusi agregat 1-0 di separuh akhir kedua di Stadium Darulaman, malam tadi.
Ketiadaan Akmal Rizal Rakhli yang cedera dan Marcos Magno Thavares yang digantung satu perlawanan memberi laluan kepada pemain tengah, Mohd. Khairul Ismail untuk mencipta nama dan muncul wira Kedah.
Tandukan tajam Khairul hasil hantaran lintang Ooi Hoe Guan pada minit ke-69 merupakan gol tunggal perlawanan yang memisahkan nasib kedua-dua pasukan.
Kedah yang diikat 0-0 oleh Sabah dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Likas, Selasa lalu sepatutnya boleh menang lebih selesa jika sepakan penalti Christiano Selbach berjaya disempurnakan pada minit ke-50.
Kedua-dua pasukan jelas terlalu berhati-hati sebaik memulakan permainan babak pertama hingga menyaksikan tidak banyak gerakan-gerakan bahaya diatur.
Begitu pun jentera serangan Sabah yang diterajui Keith Gumbs dan Andrezinho Esposito lebih agresif untuk cuba membolosi kubu tuan rumah.
Bagaimanapun pertahanan Kedah yang diketuai Cornelius Hugging bertindak bijak mengekang serangan pasukan pelawat.
Satu-satunya peluang terbaik Sabah di babak pertama apabila memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti Kedah pada minit ke-7 namun sepakan leret Esposito tersasar di sebelah kanan pintu gol Kedah.
Kedah mengubah corak permainan dan mula melancarkan gerakan lebih tersusun.
Kedah memperoleh peluang keemasan pada minit ke-50 apabila Mohd. Rafdi Rashid dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Madzalan Emoi.
Bagaimanapun sepakan Selbach ke sebelah kiri pintu gol Sabah berjaya ditepis keluar penjaga gol berpengalaman Sabah, Khairul Azman Mohamad.
Kedah akhirnya memecah kebuntuan apabila hantaran lantaran lintang Hoe Guan di sebelah kiri pintu gol Sabah ditanduk cantik Mohd. Khairul yang tidak dikawal.
Kedah hampir menambah jaringan dua minit selepas itu tetapi Rafdi yang melakukan larian cantik sekali lagi gagal melakukan penyudah apabila menendang bola terus ke kaki Khairul Azman.