Tangan Kasar

Maka adalah kelihatannya, apabila tangan yang kasar lagi papa ini menghulur bakti kepada yang bergelang emas lagi berselimut kemuliaan, tiadalah banyak bicara dibuat orang, seolah-olah air yang mengalir ke hilir, memang demikianlah adatnya sejak azali adanya.
Akan tetapi, jikalau sekali-sekala tangan yang sama ini mengangkat wajah memohon teduh di bawah payung kebesaran itu, maka berbagai-bagai tafsir pun timbullah, laksana bayang-bayang di waktu senja, ada yang memandang serong, seolah-olah ada maksud tersembunyi yang tiada terucap.
Syahadan, jikalau kiranya tiada berkenan atau tiada berkesempatan hendak menghulur tangan, maka khabarkanlah sahaja dengan sejujurnya, nescaya tiadalah sahaya ini menaruh harap yang panjTanang; kerana sudah terbiasa hati ini hidup tanpa menadah, dan tiadalah pula terlalu berharap akan apa-apa adanya.
Adapun demikian itu hanyalah pada sangka sahaya yang dhaif lagi hina ini jua, yang memerhati akan hal dunia dengan akal yang pendek, sekadar melihat akan timbangan yang kadang-kadang beralih timbangannya, entah ke mana condongnya adanya.

Ayam Gepuk

Maka sekarang ini, barang disampaikan pada sangka sahaya yang dhaif lagi hina ini jua, yang memerhati akan hal dunia dengan akal yang pendek, melihat timbangan yang kian beralih — entah ke mana condongnya adanya.
Syahadan, maka terlihatlah oleh sahaya akan kegemaran yang makin subur pada zaman mutakhir ini: nasi yang putih bersahaja, dipadankan dengan ayam goreng garing, disertai sambal seadanya, serta air panas berperisa ajinomoto.
Maka di tiap-tiap pekan dan lorong, bangkitlah bapak-bapak menjaja kedai — Pak Raden, Pak Omar, Pak Gembus — seolah-olah satu rupa, satu rasa, satu cerita, lain logo.
Sekalipun layaknya umpama makanan kantin, harga beliannya, Ya Tuhan, murah lagi snackplate KFC yang masyhur itu — makanan layak orang miskin, dibayar bagai mengadai emas.
Kemudian daripada itu barang tahu kiranya sahabat kita, tiadalah nikmat dan gumbira mana air panas berperisa ajinomoto dengan nasi putih dan ayam goreng garing bodoh itu. Selain cirit berapi pedas sambalnya. Tiada menyapa kalbu rasa, apatah lagi meninggalkan ingatan. hanyalah dendam.
Di dalam hal yang demikian itu, maka berbangkitlah ingatan sahaya akan makanan orang dahulu kala — yang penuh rempah ratus, berlapis-lapis rasanya, datang perlahan menyapa, lalu diam menetap dalam ingatan. Berkasih-kasih dalam hati. meninggalkan rindu yang panjang.
Entah lidah yang berubah, ataukah kita yang kian lupa akan erti rasa.
Tamat. Tersurat pada waktu ambil anak sekolah, dua puloh dua haribulan shawwal kepada hari jumaat.

Kuala Perlis

Maka sekarang ini, barang disampaikan pada sahabat sahaya yang amat arif bijaksana daripada melakukan kesukaan dengan segala handai taulannya, maka jikalau ada kiranya kasih sahabat sahaya, kalau-kalau ia mahu masuk dalam negeri perlis ini berniaga atau berjimba-jimba, maka pergilah sahabat sahaya itu ke KUALA PERLIS.

Maka jikalau berkehendak minum air tebu, pergilah KUALA PERLIS;
Maka jikalau berkehendak makan kuey teow, pergilah KUALA PERLIS;
Maka jikalau berkehendak bermalam, pergilah KUALA PERLIS;
Maka jikalau berkehendak berehat-rehat, pergilah KUALA PERLIS;
Maka jikalau berkehendak healing-healing, pergilah KUALA PERLIS;
Maka jikalau berkehendak berkopi-kopi, pergilah KUALA PERLIS.
Syahadan, kemudian daripada itu, akan hal negeri perlis itu hanya ada KUALA PERLIS. Kemudian selain darinya itu, hanyalah hutan belantara tempat sahaya, sahabat dan taulan sahaya, orang yang hina daripada sekalian hina, tambahan pula tiada mempunyai daya dan upaya, lagi miskin daripada sekalian miskin, lagi hina daripada sekalian itu, membuat perkerjaan di darat sekadarnya.
Tamat. Berbuat pesan ini pada waktu lunch, dua puloh satu haribulan shawwal kepada hari khamis.

Mamdani menang Gabenor New York

Mamdani menang Gabenor New York. aku nampak satu pattern sejak trump menang. pengundi tidak lagi memilih orang politik sebagai pemimpin, mereka mahukan orang luar dari kepompong politik.

Aku rasa ni bukan sekadar pasal New York. Ni pasal perubahan besar cara orang rasa pasal politik. Orang makin muak dengan politik.

Pengundi muda dah tak percaya sangat pada parti politik.
Pengundi muda dah penat dengan ahli politik yang hidup dalam kepompong parti, yang rasa dunia ni berputar atas logo parti mereka masing-masing.
Yang tiap kali bercakap, bunyi macam robot.
Pengundi muda sekarang dah malas nak dengar benda tu — pengundi muda nak dengar orang yang betul-betul faham hidup masa sekarang, bukan ulang benda sama dan bergaduh. Disumbat suatu propaganda macam orang muda itu budak hingusan bodoh.

Hangpa perasan tak, politik sekarang makin tua.
Wajah sama, gaya sama, orang yang sama pusing-pusing kuasa. Kira politik tu sama, pusing tukaq tukaq parti ja.
Yang muda masuk pun cepat terikut perangai lama — belajar cara nak survive, bukan cara nak ubah.
Jadi bila muncul calon macam Mamdani, yang bukan ahli politik totok, yang berani cakap benda jujur, orang muda terus rasa dekat.
Masa untuk letak kayu atau batu pun boleh menang sudah semakin berakhir.

Sebab di hujung hari, hidup makin sempit — kerja tak tentu, harga barang/rumah makin gila, peluang makin tertutup.
Dan pengundi muda tahu semua tu datang daripada sistem yang berat sebelah, sistem yang orang kaya kawal dalam kalangan pembuat dasar.

Jadi bila ada seseorang yang bercakap benda tu terus-terang — bukan atas pentas parti, tapi atas dasar manusia — orang muda dengar.
Bukan sebab dia liberal, bukan sebab dia sosialis. Tapi sebab dia real. Banyak benda yang dia cakap mungkin kita di Malaysia tak mungkin setuju, tapi ni aku cerita pasal politik US, bukan Malaysia. Yang penting, pengundi muda sana nak dengar suatu yang real, suatu yang berpijak pada realiti.

Aku rasa kemenangan Mamdani ni tanda kecil je, tapi snowball effect akan berlaku. dia akan bergolek dengan sebesar bola tenis sahaja awal ini, dan dihujung nanti dia akan gulung abis semua.
Mungkin politik lama dah sampai hujung jalan.
Dan pengundi, akhirnya, akan mula cari jalan lain.

Pengundi Amerikaaaaa....

Taugeh Bijak

 KENYATAAN MEDIA

UNTUK SIARAN SEGERA
Tarif 150% ke Atas Penjualan Taugeh Dalam Negeri
1. Sukacita, saya hari ini mengumumkan pengenaan tarif khas sebanyak 150% ke atas penjualan taugeh, berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025. Langkah ini diambil selepas penelitian menyeluruh terhadap trend penyalahgunaan taugeh secara berlebihan dalam sektor makanan jalanan, khususnya dalam penyediaan kuey teow goreng.
2. Kajian oleh Bahagian Kawalan Keseimbangan Hidangan Kuey Teow (BKKHKT) mendapati penggunaan taugeh yang melampau telah mengganggu keharmonian struktur masakan rakyat serta mengelirukan persepsi pengguna terhadap makanan yang dimakan.
3. Data semasa menunjukkan lebih 88% peniaga kuey teow goreng meletakkan taugeh dalam kuantiti yang melampaui nisbah yang sepatutnya. Dalam sesetengah kes, pengguna melaporkan hanya menemui dua helai kuey teow di celah timbunan taugeh.
4. Pengenaan tarif ini bukan bertujuan menghukum petani atau peniaga sayur-sayuran tempatan mahupun peniaga kuey teow goreng. Sebaliknya, ia satu langkah pengimbangan bagi menggalakkan penggunaan taugeh yang waras, berpatutan dan bertanggungjawab dalam hidangan.
5. Saya menghormati kreativiti peniaga makanan dalam menghidupkan budaya kulinari tempatan. Namun begitu, setiap kreativiti perlu diselaraskan dengan prinsip kesaksamaan bahan dan penggunaan taugeh yang munasabah.
6. Selari dengan itu, satu Garis Panduan Kandungan Taugeh Maksimum (GKTM) akan dikeluarkan oleh Majlis menjelang akhir bulan ini, bagi membantu peniaga menyesuaikan resipi mereka dengan kadar baharu.
7. Saya juga telah mengarah dilaksana inisiatif pendidikan pengguna melalui kempen #TaugehBijak yang akan bermula di media sosial, sekolah, dan pasar malam — bertujuan mendidik orang ramai tentang hak mereka terhadap kandungan taugeh dalam makanan.
8. Sebagai langkah mitigasi, petani dan pengusaha taugeh tempatan akan diberi subsidi alih guna untuk menanam kangkung di dalam parit, bagi memastikan ekosistem pertanian kekal stabil sepanjang tempoh penyesuaian ini.
9. Saya sentiasa terbuka kepada maklum balas dari semua pihak dan akan menilai semula kadar tarif ini selepas tempoh lapan ratus bulan berdasarkan kesan terhadap harga pasaran, kesejahteraan pengguna, dan keharmonian rasa dalam masakan tempatan.
10. Saya yakin langkah ini akan mengembalikan keseimbangan dalam setiap pinggan kuey teow goreng, serta mewujudkan semula kepercayaan antara pengguna, peniaga, dan taugeh itu sendiri.
11. Dengan langkah ini, penyalahgunaan taugeh dan daun biak dalam koey teow goreng diharap dapat ditamatkan.

Setiausaha Akhbar

 1. Jadi SU Akhbar (SUA) ini bukan sekadar mesej press suh datang Press Conference (PC). Kerja tu despatch boleh buat.

2. Kita kena baca apa isu yang penting disuarakan rakyat dan apa maklumat sebenar yang perlu disampaikan.
3. Kemudian kita kena plan macam mana kita nak address keresahan rakyat dan sampaikan maklumat bagi meredakan keresahan.
4. Dah ada plan, kita tak boleh biar boss hanya cakap dalam PC dan biar press sahaja petik. Sebab press akan petik sesuatu untuk headline yang mereka boleh jual sahaja. Takkan petik penuh. Itu memang cara mereka. Sbb mereka berniaga.
5. Kita kena ready dengan statement rasmi yang jelas untuk cover PC boss. Agar perkara yang terlepas dipetik press dapat kita highlight semula.
6. Kita empati kepada keresahan rakyat, kita beri rational agensi, kita kemukakan plan dan kita bagi keyakinan bahawa kepentingan rakyat dan negeri menjadi keutamaan boss kita.
7. Jangan kita dah panggil PC, pahtu ikut boss cakap apa, potong video sikit sikit letak dengan caption yang tidak membantu. Dan biar netizen bantai boss.
8. Ya, ini hanya perkara kecik yang sepatutnya agensi atau Exco berkaitan sahaja sepatutnya urus. Tetapi isu ini jadi besar sebab maklumat yang disampai tak sepenuhnya. Jangan biarkan isu berlarutan hingga pihak lawan boleh tunggang.

Soalan ramalan Bahasa Melayu Penulisan SPM

 Soalan ramalan Bahasa Melayu Penulisan SPM tahun ini.

“Masalah sosial dalam kalangan orang remaja purba (dewasa) semakin membimbangkan. Bincangkan punca-punca berlakunya masalah ini dan cadangkan langkah-langkah untuk mengatasinya.”