KENYATAAN MEDIA
UNTUK SIARAN SEGERA
Tarif 150% ke Atas Penjualan Taugeh Dalam Negeri
1. Sukacita, saya hari ini mengumumkan pengenaan tarif khas sebanyak 150% ke atas penjualan taugeh, berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025. Langkah ini diambil selepas penelitian menyeluruh terhadap trend penyalahgunaan taugeh secara berlebihan dalam sektor makanan jalanan, khususnya dalam penyediaan kuey teow goreng.
2. Kajian oleh Bahagian Kawalan Keseimbangan Hidangan Kuey Teow (BKKHKT) mendapati penggunaan taugeh yang melampau telah mengganggu keharmonian struktur masakan rakyat serta mengelirukan persepsi pengguna terhadap makanan yang dimakan.
3. Data semasa menunjukkan lebih 88% peniaga kuey teow goreng meletakkan taugeh dalam kuantiti yang melampaui nisbah yang sepatutnya. Dalam sesetengah kes, pengguna melaporkan hanya menemui dua helai kuey teow di celah timbunan taugeh.
4. Pengenaan tarif ini bukan bertujuan menghukum petani atau peniaga sayur-sayuran tempatan mahupun peniaga kuey teow goreng. Sebaliknya, ia satu langkah pengimbangan bagi menggalakkan penggunaan taugeh yang waras, berpatutan dan bertanggungjawab dalam hidangan.
5. Saya menghormati kreativiti peniaga makanan dalam menghidupkan budaya kulinari tempatan. Namun begitu, setiap kreativiti perlu diselaraskan dengan prinsip kesaksamaan bahan dan penggunaan taugeh yang munasabah.
6. Selari dengan itu, satu Garis Panduan Kandungan Taugeh Maksimum (GKTM) akan dikeluarkan oleh Majlis menjelang akhir bulan ini, bagi membantu peniaga menyesuaikan resipi mereka dengan kadar baharu.
7. Saya juga telah mengarah dilaksana inisiatif pendidikan pengguna melalui kempen #TaugehBijak yang akan bermula di media sosial, sekolah, dan pasar malam — bertujuan mendidik orang ramai tentang hak mereka terhadap kandungan taugeh dalam makanan.
8. Sebagai langkah mitigasi, petani dan pengusaha taugeh tempatan akan diberi subsidi alih guna untuk menanam kangkung di dalam parit, bagi memastikan ekosistem pertanian kekal stabil sepanjang tempoh penyesuaian ini.
9. Saya sentiasa terbuka kepada maklum balas dari semua pihak dan akan menilai semula kadar tarif ini selepas tempoh lapan ratus bulan berdasarkan kesan terhadap harga pasaran, kesejahteraan pengguna, dan keharmonian rasa dalam masakan tempatan.
10. Saya yakin langkah ini akan mengembalikan keseimbangan dalam setiap pinggan kuey teow goreng, serta mewujudkan semula kepercayaan antara pengguna, peniaga, dan taugeh itu sendiri.
11. Dengan langkah ini, penyalahgunaan taugeh dan daun biak dalam koey teow goreng diharap dapat ditamatkan.